DARI kiri, Izyan Nordin, Faizah Ismail, Norhayati Mat Ludin dan Mohd Bakri Yaacob menunjukkan kad Saya Sudah Berikrar sebagai penderma organ.
DARI kiri, Izyan Nordin, Faizah Ismail, Norhayati Mat Ludin dan Mohd Bakri Yaacob menunjukkan kad Saya Sudah Berikrar sebagai penderma organ.
Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan menyasarkan peningkatan sehingga dua peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia menjadi pengikrar penderma organ sehingga penghujung tahun depan.

Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Tye berkata, setakat ini hanya 1.2 peratus iaitu 397,476 individu daripada jumlah populasi negara ini pengikrar organ sejak 1997 hingga 30 September lalu.

“Pada kita, peratusan ini sebenarnya masih rendah berbanding negara lain kerana jumlah pesakit yang menunggu untuk mendapatkan organ adalah 21,973 di seluruh negara sehingga 30 September lalu.

“Oleh itu, usaha berterusan dilakukan untuk memberi kesedaran dengan bantuan Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi kempen di jalanan atau mendapatkan kerjasama sektor swasta serta institusi agama untuk menyebarkan maklumat kepada orang ramai.

“Saya harap menerusi pelbagai inisiatif ini, bilangan pengikrar akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya selepas merasmikan majlis penutupan Jelajah Pendermaan Organ Peringkat Kelantan di Pasaraya Mydin Kubang Kerian, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir.

Mengulas lanjut, pihaknya juga sedia berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menyediakan insentif tertentu kepada pengikrar dan penderma organ di negara ini.

“Langkah itu dilihat dapat menarik minat lebih ramai individu di negara ini menjadi pengikrar dan penderma organ. Kami juga harap pembabitan lebih banyak sektor swasta untuk membantu memberi kesedaran mengenai pendermaan organ dalam kalangan orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 7:17 AM