HM Digital

Melaka: Seorang pencuci kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan melakukan seks luar tabii dan mencabul seorang wanita, bulan lalu.

Tertuduh Abdul Rauf Singaravelu, 28, dari Parit Jawa, Johor membuat pengakuan itu sebaik dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.

Abdul Rauf didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita berusia 40 tahun antara jam 11.30 malam hingga 1 pagi di sebuah rumah di Taman Bukit Melaka di sini pada 18 September lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan niat mencabul kehormatannya pada masa, alamat dan tarikh yang sama.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh kerana khuatir dengan keselamatan dan mengganggu mangsa sebagai saksi utama.

Shazreen memohon tarikh sebutan semula kes diselaraskan mengikut pertuduhan yang dihadapi tertuduh sebelum ini mengikut Seksyen 377(CA) dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan, masing-masing atas kesalahan melakukan seks menggunakan objek serta mencederakan mangsa sama pada 28 September lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dibenarkan dengan alasan perlu menjaga anak yang masih kecil, selain menanggung ahli keluarga lain termasuk adik dan kakak.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma menetapkan 22 dan 23 Februari tahun depan untuk perbicaraan dan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 6:08 AM