APM mengangkat mangsa ketika Latihan Pengurusan Bencana (D'Mex) peringkat Daerah Yan yang diadakan di Hutan Lipur Titi Hayun, Yan hari ini. FOTO Nur Syazwana Mansor
APM mengangkat mangsa ketika Latihan Pengurusan Bencana (D'Mex) peringkat Daerah Yan yang diadakan di Hutan Lipur Titi Hayun, Yan hari ini. FOTO Nur Syazwana Mansor
Nur Syazwana Mansor


TUJUH puluh enam anggota dan kakitangan pelbagai agensi menamatkan Latihan Pengurusan Bencana atau Disaster Managenent Exercise (D'Mex) peringkat Daerah Yan di Hutan Lipur Titi Hayun, Yan, hari ini.

Antara agensi terbabit termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Yan dan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.

Pegawai Daerah Yan, Mohd Yusri Md Daud berkata, program selama dua hari bermula semalam diadakan bertujuan memantapkan lagi kerjasama antara semua agensi dalam menghadapi waktu bencana membabitkan kawasan Gunung Jerai.

Katanya, dua bentuk latihan dijalankan iaitu mencari dan menyelamat mangsa hilang di Gunung Jerai dan latihan operasi ketika berdepan situasi kepala air di air terjun.

"Program ini berjaya mencapai objektif yang kita harapkan melalui kerjasama setiap agensi yang terbabit. Diharapkan ia dapat membantu semua agensi ketika berdepan situasi sebenar," katanya selepas merasmikan majlis penutup program terbabit hari ini.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, pihaknya kini dalam usaha memantapkan kerjasama dengan Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan (REKEY) dan Malim Gunung sebagai persediaan untuk menerima lebih ramai pelancong dan pendaki ke Gunung Jerai sejajar dengan pengisytiharannya sebagai lokasi Geopark kedua di Kedah selepas Pulau Langkawi.

Katanya, kerjasama itu penting bagi melancarkan aktiviti pelancongan berasaskan Gunung Jerai selain persediaan berdepan sebarang bencana tidak diingini sewaktu aktiviti itu diadakan.

"Gunung Jerai menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara bagi melakukan aktiviti pendakian, jadi kita perlu bersedia dalam menyediakan khidmat malim gunung bagi melancarkan lagi aktiviti pendakian.

"Mengikut rekod kira-kira 700 pelancong dari 38 negara luar melakukan aktiviti pendakian di Gunung Jerai dan jumlah ini dijangka meningkat dari semasa ke semasa," katanya.

Mohd Yusri berkata, ketika ini terdapat 20 ahli REKEY yang mahir dan mempunyai pengetahuan luas mengenai laluan di Gunung Jerai dan teknik pendakian yang betul.

Katanya, malim gunung juga dilatih menjadi juru pandu arah dan jurucakap untuk menerangkan sejarah Gunung Jerai sepanjang aktiviti pendakian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 10:58 PM