Khairy (tengah) bersama peserta MyCorps.
Khairy (tengah) bersama peserta MyCorps.
HM Digital

Kuala Lumpur: Seramai 40 remaja terpilih akan dihantar ke Sudan dan Lubnan menjadi sukarelawan membantu pelarian di bawah misi kemanusiaan Program Kepemimpinan Kesukarelawan Belia Malaysia (MyCorps) Disember ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, misi kelima itu terbuka kepada penyertaan yang dibuat melalui laman web rasminya bermula semalam dan dijangka mendapat permohonan menggalakkan seperti misi terdahulu.

“Permohonan bagi misi ini mula dibuka hari ini (semalam) yang akan kita pilih untuk peserta daripada pelbagai latar belakang membuat latihan bermula 26 November sehingga 23 Disember.

“Selepas mengadakan latihan selama sebulan, sukarelawan terpilih ini akan berlepas ke lapangan melaksanakan misi kemanusiaan pada 24 Disember hingga 3 Mac 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Ignition Ceremony, MyCorps@Asia Selatan di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras di sini semalam.

Program berkenaan adalah bagi meraikan 40 sukarelawan MyCorps yang baru menamatkan misi keempat MyCorps di Bangladesh serta Sri Lanka selama dua bulan bermula 16 Ogos hingga semalam.

Selain Lubnan, Sri Lanka dan Bangladesh, MyCorps sebelum ini turut melaksanakan misi kemanusiaan di Jordan, Turki dan Kemboja.

Mengulas lanjut Khairy berkata, dalam misi kemanusiaan di Lubnan, peserta akan ke kem pelarian Syria terutama di Akra, Beirut, dan Ketermaya.

Manakala di Sudan yang menjadi lokasi kali pertama misi diadakan jelas beliau, tumpuan akan diberikan kepada pelarian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 4:52 AM