NOR Arzlin (empat dari kiri) mewakili Media Prima menerima   Anugerah Syarikat Terbaik Asia Untuk Bekerja, semalam.
NOR Arzlin (empat dari kiri) mewakili Media Prima menerima Anugerah Syarikat Terbaik Asia Untuk Bekerja, semalam.
HM Digital

Kuala Lumpur: Syarikat media bersepadu, Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) menerima pengiktirafan Syarikat Terbaik Asia Untuk Bekerja oleh HR Asia, semalam.

Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Sumber Manusia MPB Nor Arzlin Redzwuan berkata, pengiktirafan itu selari dengan keyakinan Media Prima bahawa pekerja adalah aset terbesar sesebuah syarikat kerana mereka membantu memastikan kejayaan organisasi.

“Penghormatan ini didedikasikan kepada pasukan kepimpinan kami dan semua orang di Media Prima, terutama pasukan Sumber Manusia kami.

“Anugerah ini akan merangsang pasukan Sumber Manusia untuk maju ke hadapan dengan dasar inovatif dan program untuk manfaat semua pekerja di Media Prima,” katanya sejurus menerima anugerah berkenaan.

Sejumlah 320 syarikat daripada pelbagai industri di Malaysia menyertai anugerah tahun ini yang menggunakan proses audit yang panjang dan ketat.

Ia antara lain memberi tumpuan kepada pembabitan pekerja, budaya kerja dan peluang pembangunan.

Proses penghakiman dilaksanakan menerusi amalan terbaik dan kerja dalaman oleh panel bebas serta pakar industri, wartawan dan wakil kerajaan.

Selain itu, Penerbit HR Asia Datuk William Ng berkata, ia adalah salah satu kaji selidik yang paling berstruktur serta menyeluruh berhubung pembabitan pekerja serta amalan tempat kerja di rantau ini.

Menurutnya, melalui kajian itu, HR Asia sudah mendapati bahawa banyak syarikat tempatan atau antarabangsa, mempunyai amalan tempat kerja yang setanding di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 6:44 AM