KAKITANGAN JPA pada Program Aktif Sihat Jabatan Perkhidmatan Awam bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sempena Hari Sukan Negara 2017. FOTO BERNAMA
KAKITANGAN JPA pada Program Aktif Sihat Jabatan Perkhidmatan Awam bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sempena Hari Sukan Negara 2017. FOTO BERNAMA
Nursyahirah Marzuki


EMPAT atlet boling negara memeriahkan memeriahkan senamrobik dan senam tari anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi program Aktif Sihat JPA bersama Ketua Pengarah Penjawat Awam (KPPA) di Dataran Kompleks C, Putrajaya, hari ini.

Atlet yang hadir pada program itu ialah Shalin Zulkifli yang menyempurnakan gimik penyertaaan dengan membawa obor bersama Syafiq Ridhwan, Sin Lin Jane dan Syaidatul Afifah.

Program itu yang diadakan sempena Hari Sukan Negara 2017 bermula pada 5 petang disertai kira-kira 500 kakitangan JPA.

Turut memeriahkan program adalah KPPA Tan Sri Zainal Rahim Seman, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman, Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) JPA Puan Sri Nik Hasmah Nik Kadir dan Presiden Kelab JPA Datuk Nor Inchun Mohamed Salleh.

Program itu turut menampilkan maskot Rimau yang bersama-sama melakukan senamrobik dan senam tari bersama warga JPA kira-kira satu jam.

Acara senaman ringan itu juga bukan sahaja membabitkan warga JPA tetapi diceriakan lagi dengan kehadiran anak kecil yang bersenam bersama mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 9:22 PM