Bakakuk yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Bakakuk yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Fardy Bungga


LELAKI maut selepas terkena tembakan dilepaskan sepupunya menggunakan senjata api buatan sendiri iaitu bakakuk ketika berburu di hutan Kampung Langkabungan 2, Kota Marudu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa, Andreas Labin, 22, maut di tempat kejadian selepas terkena lima tembakan di dada, leher dan muka.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 25 tahun itu keluar memburu seorang diri di kawasan hutan berkenaan kira-kira 700 meter dari rumahnya.

Katanya, suspek mendakwa terlihat kelibat seekor kijang di kawasan semak dalam jarak 90 meter dari tempatnya berdiri sebelum bertindak melepaskan tembakan.

"Lelaki yang bekerja sebagai penoreh getah itu mendakwa turut melihat kelibat kijang berkenaan jatuh sebaik tembakan dilepaskan.

"Namun apabila dia sampai di lokasi berkenaan, suspek terkejut apabila mendapati sepupunya sendiri terlentang dengan beberapa kesan tembakan," katanya.

Menurutnya, suspek pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung sebelum membuat laporan di Balai Polis Kota Marudu.

Katanya, suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

"Polis turut merampas selaras senjata api jenis bakakuk bersama sebutir kelongsong peluru yang digunakan suspek dalam insiden berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 11:33 AM