Mohd Sabran Md Sani


TIDAK timbul isu bebanan denda yang dikenakan akibat lewat mendaftar kelahiran anak-anak berikutan Akta 299 Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat terhadap penduduk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak kerana ia hanya terpakai di Semenanjung.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, bagi kedua-dua negeri itu, peraturan pendaftaran kelahiran tertakluk kepada Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1951 (CAP 123) Sabah dan Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1951 (CAP 10) Sarawak.

"Isu denda membebankan penduduk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, tidak timbul kerana Akta 299 hanya terpakai di Semenanjung Malaysia saja.

"Tempoh dua bulan adalah tempoh yang lebih dari mencukupi untuk pendaftaran khususnya di Semenanjung Malaysia, apatah lagi kini pendaftaran ini semakin dipermudahkan dengan kehadiran perkhidmatan di UTC, RTC, Unit Mobile JPN dan Pejabat Cawangan JPN di seluruh negara," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Beliau berkata taraf warganegara dan dokumen pengenalan diri seperti MyKad penting dan perlu dijaga dengan baik oleh pemilik.

"Ini penting untuk mengelakkan dari kecurian identiti khususnya dalam dunia siber masa kini," katanya.

Mengulas mengenai denda dan kenyataan dikeluarkan semalam, katanya, ia adalah berdasarkan pindaan 2016 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Akta 299) mengikut konteksnya.

"Tempoh pendaftaran kelahiran dalam pindaan ini dilanjutkan dari 42 hari kepada 60 hari, bermaksud kini ibu bapa mempunyai tempoh dua bulan untuk mendaftarkan anak mereka.

"Dalam pindaan ini dimasukkan elemen denda dikenakan kepada mereka yang lewat mendaftar," katanya.

Beliau berkata, jumlah denda RM1,000 itu adalah sebahagian dari cadangan peraturan yang sedang diteliti dan jumlah ini diambil berdasarkan jumlah denda yang sama dikenakan kepada mereka yang kehilangan MyKad lebih dari tiga kali.

"Dalam pindaan yang sama juga terdapat penambahan pada Seksyen 12 Subseksyen 1A yang mengatakan denda ini boleh dikurangkan atau diberi pelepasan oleh pendaftar berdasarkan kepada panduan yang ditetapkan.

"Ini bermakna ada ruang budi bicara bagi kes-kes tertentu," katanya menambah, perkara ini amat penting memandangkan pendaftaran kelahiran ini akan berkait dengan pelbagai lagi perkara lain.

"Contoh komplikasi yang mungkin timbul akibat dari kelewatan atau kegagalan mendaftarkan anak yang baru lahir ialah ketika hendak mendapatkan suntikan imunisasi dan vaksin untuk bayi pada 6 bulan pertama selepas kelahiran.

"Ibu bapa tidak boleh memandang ringan akan perkara ini dan kementerian juga mesti menetapkan dasar dan peraturan yang selari dengan pendirian kerajaan iaitu untuk menggalakkan ibu bapa untuk tidak lewat mendaftarkan kelahiran anak-anak mereka," katanya.

Nur Jazlan semalam berkata denda bagi pasangan yang tidak mendaftar kelahiran dan surat beranak anak mereka dalam tempoh 60 hari bukan lagi RM50 tetapi dinaikkan kepada RM1,000, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata kadar denda lewat daftar itu dinaikkan selepas pindaan Akta 299 Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat yang diluluskan Dewan Rakyat tahun lalu.

Katanya, kerajaan mengambil keputusan semua kelahiran mesti didaftar dalam tempoh 60 hari, sama ada anak sah taraf atau luar nikah.

Berita berkaitan:

RM1,000 dendanya...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 9:33 PM