NIK Nor Fatin menjaga ibunya, Raja Nurliza yang terlantar selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di rumahnya di Kampung Pulau Hilir. FOTO Fariz Zainuldin
NIK Nor Fatin menjaga ibunya, Raja Nurliza yang terlantar selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di rumahnya di Kampung Pulau Hilir. FOTO Fariz Zainuldin
Hazira Ahmad Zaidi


“SAYA sanggup buat apa saja asalkan ibu pulih seperti sedia kala,” kata Nik Nor Fatin Dakhlan, 23, anak kepada wanita yang lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan di Kemumin, Kota Bahru, sejak Julai lalu.

Nik Nor Fatin sanggup menangguhkan pengajiannya dalam Diploma Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang demi menjaga ibunya, Raja Nurliza Raja Daud, 43, yang lumpuh seluruh badan.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, kemalangan berlaku ketika dia bersama ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah dengan motosikal selepas menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin.

Katanya, secara tiba-tiba motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah pacuan empat roda mengakibatkan kepala ibunya terhentak kuat di jalan.

"Saya hanya mengalami cedera ringan manakala ibu yang tidak sedarkan diri dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) selama 18 hari sebelum ditempatkan di wad biasa dan dibenarkan pulang ke rumah pada 11 September lalu.

"Disebabkan kemalangan itu, ibu lumpuh seluruh badan dan segala keperluannya diuruskan oleh saya dengan dibantu ibu saudara.

"Ibu terpaksa diberi minum susu dengan menggunakan tiub dipasang di mulutnya tujuh kali sehari selain perlu berjumpa pakar dan menjalani rawatan fisioterapi setiap dua bulan sekali," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Hilir, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini dia masih lagi tidak memberitahu ibunya bahawa bapanya sudah meninggal dunia pada 31 Ogos lalu disebabkan kencing manis.

"Kami adik beradik tidak sampai hati berbuat demikian kerana bimbang kesihatan ibu terganggu dengan berita sedih terbabit.

"Kini kami hilang tempat bergantung dan perbelanjaan ibu termasuk lampin pakai buang, susu khas dan peralatan perubatan lain dengan kos hampir RM1,500 sebulan ditanggung oleh ibu saudara, Raja Nurlida, 50," katanya.

Nik Nor Fatin berkata, dia tidak sempat menghabiskan pengajian di UiTM Machang pada 2013 kerana menjaga arwah bapanya yang sakit.

“Kini saya menggalas tanggungjawab menjaga ibu. Tidak mengapa, saya boleh tangguh pengajian sehingga ibu sihat dan biarlah tiga adik saya meneruskan persekolahan mereka.

“Saya sanggup lupakan seketika niat untuk sambung belajar, walaupun rakan lain mungkin sudah bergelar graduan dan saya tidak pernah kecewa kerana pengorbanan ini demi ibu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 6:10 PM