Tan Chang Keong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas lima tuduhan memperdagangkan lima wanita Indonesia dengan bekerja secara paksa, tiga bulan lalu.
Tan Chang Keong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas lima tuduhan memperdagangkan lima wanita Indonesia dengan bekerja secara paksa, tiga bulan lalu.
Izlaily Nurul Ain Hussein


PENGURUS sebuah pusat jagaan orang tua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini, atas lima pertuduhan memperdagangkan lima wanita Indonesia dengan bekerja secara paksa, tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Tan Chang Keong, 60, mengaku tidak bersalah selepas kelima-lima pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Bagi semua pertuduhan, Tan didakwa melakukan perbuatan itu ke atas lima wanita warga negara berkenaan yang berusia 22 tahun hingga 50 tahun bagi maksud mengeksploitasi kerja secara paksa.

Bagi perbuatan yang dilakukan di rumah orang tua di Jalan Mentahak, Taman Johor, Johor Bahru, 6.30 petang, 2 Julai lalu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Asmah Zainal Ariffin menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan namun dibantah peguam M Vinodharan yang mewakili tertuduh.

Menurut Vinodharan, anak guamnya tidak mampu membayar jumlah jaminan yang tinggi memandangkan usianya yang sudah lanjut dan masih menguruskan 40 warga tua di rumah berkenaan.

“Tertuduh sudah berkahwin dengan isterinya tidak bekerja selain mempunyai seorang anak berusia 14 tahun yang masih sekolah.

“Anak guam saya juga menghidap Hepatitis A dan masih memerlukan rawatan susulan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 10 dan 11 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 2:13 PM