SANTI
SANTI
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Wajahnya berseri seolah-olah seperti sedang senyum lebar.”

Itu pengalaman dialami K Santi, 38, yang berkesempatan melihat keadaan mayat mendiang bapanya, G Krishnan, 62, selepas menjalani proses pendermaan organ beberapa tahun lalu.

Pengalaman istimewa itu dikongsi Santi di hadapan lebih 200 hadirin yang hadir pada Forum Derma Organ: Ada Aku Kisah? anjuran Unit Perkhidmatan Transplantasi, Bahagian Perkembangan Perubatan dan Pusat Sumber Transplan Nasional di sini, semalam.

Santi berkata, dia mengakui masih tidak dapat melupakan pengalaman itu dan mayat bapanya berada dalam keadaan normal, malah paling ketara wajah mendiang ayahnya seperti bercahaya.

Beliau berkata, dia bersama emak dan dua adiknya membuat keputusan tepat untuk mendermakan hati serta buah pinggang bapanya kepada penerima yang memerlukan.

“Saya juga pasti mendiang ayah turut bersetuju dengan tindakan itu,” katanya yang pada ketika itu berkhidmat sebagai kordinator transplan di Pusat Sumber Transplan Nasional.

Katanya, dia juga tidak menyangka dapat merasai sendiri pengalaman menguruskan proses pendermaan organ bapanya sendiri biarpun sebelum itu terbabit mengendalikan banyak kes pendermaan organ orang lain.

Santi yang kini bertugas sebagai pengajar jururawat di Kolej Kesihatan Bersekutu Sungai Buloh berkata, mendiang bapanya disahkan mati otak selepas terjatuh di rumahnya di FELDA Keratong, Pahang.

Menurutnya, dia juga mahu orang ramai membuang stigma ketakutan terhadap pendermaan organ kerana baginya ia bukan soal agama sebaliknya menganggap ia sebagai perkara yang mulia.

Sementara itu, seorang penerima organ, Mohd Saberi Rashidi, 46, berkata, dia bersyukur kerana diberi peluang menjalani kehidupan normal hasil pendermaan organ iaitu buah pinggang daripada isterinya sendiri, Zaiton Abdul Hamid, 43, sekitar 2011.

“Saya perlu berterima kasih kepada isteri saya kerana tanpanya saya mungkin tidak dapat menjalani kehidupan normal seperti orang lain dan mungkin akan berulang-alik ke hospital untuk menjalani rawatan dialisis sepanjang hayat,” katanya.

TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (depan, kanan) beramah mesra dengan penerima organ, semalam.
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (depan, kanan) beramah mesra dengan penerima organ, semalam.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya pada sidang media di program sama berkata, setakat Januari lalu hingga sekarang, seramai 17 penderma organ direkodkan dengan keseluruhan 618 orang dicatatkan sejak program pendermaan organ dimulakan sekitar 1975 hingga kini.

Menurutnya, tahun ini saja, kementerian berjaya mendekati 50 ahli keluarga mangsa yang kematian otak untuk berbincang mengenai pendermaan organ namun, hanya 17 daripada mereka bersetuju mendermakan organ.

“Jumlah itu masih sedikit namun, kami faham ahli keluarga mempunyai hak untuk memberi kebenaran bagi mendermakan organ ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia.

“Setiap tahun dianggarkan, sebanyak 300 sehingga 400 kes kematian mati otak direkodkan namun, ada kebanyakan kes kematian tidak dilaporkan.

“Jika semua kes kematian ini dimanfaatkan untuk pendermaan organ, ia dijangka dapat memberi peluang dan manfaat kepada 3,200 penerima organ memandangkan setiap penderma boleh mendermakan sehingga lapan organ mereka,” katanya.

Katanya, setakat ini, seramai 394,809 rakyat Malaysia sudah berikrar menderma organ selepas kematian iaitu mewakili 1.2 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 9:03 AM