(Gambar fail) Ahmad Zahid ketika Sesi Dialog Perdana Industri Halal di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.
(Gambar fail) Ahmad Zahid ketika Sesi Dialog Perdana Industri Halal di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.
Hayati Ibrahim


SYARIKAT multinasional (MNC) dan syarikat besar tempatan (LLC) perlu memainkan peranan lebih besar untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri halal negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hubungan antara MNC dan LLC dengan PKS sangat penting bagi membantu syarikat ini mengembangkan pasaran mereka di luar negara.

"Bantuan ini mungkin dengan membantu PKS menaiktaraf proses dan produk mereka melalui pemindahan teknologi terutama dalam aspek teknikal dan komersil yang kritikal untuk menjalankan perniagaan di pasaran global.

“Ini dapat membantu PKS tempatan mendapat akses ke pasaran eksport utama yang biasanya lebih mencabar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan Dialog Industri Halal yang diadakan di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Sesi dialog berkenaan turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) Datuk Seri Jamil Bidin.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga berharap lebih banyak MNC dan LLC berusaha untuk mengenalpasti PKS yang berpotensi untuk dijadikan sebagai pembekal mereka.

Beliau berkata, langkah itu perlu dilaksanakan memandangkan jurang nilai eksport dalam industri halal antara MNC dan PKS amat tinggi.

“Dari keseluruhan RM42.1 bilion nilai ekport dalam industri halal tahun lalu, MNC menyumbang sebanyak RM36.9 bilion manakala PKS hanya RM4.01 bilion.

“Jurang ini amat besar dan perkara ini menjadi tumpuan utama yang dibincangkan dalam dialog meja bulat yang diadakan hari ini,"katanya.

Katanya, dialog dianjurkan HDC ini dihadiri wakil daripada MNC dan LLC, dan ia sebahagian daripada pembangunan Pelan Induk Industri Halal 2.0 (HIMP 2018-2030).

Dialog ini dimulakan ketika 'Dialog Perdana Industri Halal' yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, dan syarikat tempatan diminta bekerjasama dengan syarikat multinasional untuk membangun dan memasarkan produk serta perkhidmatan halal mereka di peringkat antarabangsa.

“Sesi ini diadakan bertujuan mencari jalan bagaimana syarikat besar seperti MNC, LLC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh membantu PKS dalam industri halal.

“Dialog ini juga bertujuan mengumpulkan maklumat mengenai isu dan cabaran yang dihadapi syarikat besar dalam menyokong pembangunan syarikat tempatan dan mencari penyelesaian,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, sesi hari ini juga turut mengambil maklum mengenai maklumat dari sesi sebelum ini turut dimasukkan dalam sesi makmal HIMP 2.0 yang diadakan pada 14 hingga 19 September lalu.

Katanya, HIMP 2.0 yang dijangka dilancarkan hujung tahun ini akan memberi tumpuan kepada menangani jurang sedia ada dan memperkukuhkan bidang yang dikenal pasti sebagai keutamaan dalam industri halal.

"Ini termasuk penggubalan dasar dan undang-undang halal, memperluaskan program Jejak Halal Antarabangsa; memperkukuhkan pembangunan kapasiti dan meningkatkan keupayaan syarikat halal tempatan melalui program Pembangunan Perusahaan Halal dan mempromosikan halal serta meningkatkan pembangunan modal insan dalam halal melalui program bakat dan peningkatan kemahiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 8:36 PM