Ghazali (baju putih) menyampaikan sijil halal kepada Khairul Azizie. FOTO Zarina Abdullah
Ghazali (baju putih) menyampaikan sijil halal kepada Khairul Azizie. FOTO Zarina Abdullah
Zarina Abdullah


REDANG Mutiara Resort menjadi premis pertama di Pulau Redang menerima sijil halal daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Sijil pengiktirafan itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib kepada pemilik resort, Khairul Azizie Mohamad dalam majlis ringkas di Delima Resort, Pulau Redang, semalam.

Ghazali berkata, sebanyak 26 premis makanan milik hotel dan resort mendapat pengiktirafan halal selepas JHEAT menjalankan pemeriksaan dan pemantauan sepanjang tahun ini.

Menurutnya, semua hotel dan resort terbabit mendapat pengiktirafan selepas berjaya mematuhi syarat, standard dan kelayakan ditetapkan JHEAT.

"Antara ketetapan JHEAT adalah setiap premis mesti menggunakan bahan halal dalam setiap masakan, kebersihan dapur dan perkakas pengendalian serta penyediaan makanan," katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan memiliki sijil halal akan memberi banyak kelebihan kepada resort kerana status itu menjadi keutamaan bagi pelancong Muslim termasuk dari luar negara.

"Mereka yang datang dari pelbagai negara akan dapat menikmati makanan tanpa ragu dengan premis makanan di hotel dan resort menerima pengiktirafan halal terbabit.

"Oleh itu, saya menyarankan pengunjung yang beragama Islam atau mana-mana jabatan kerajaan, agensi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini agar memilih hotel dan resort mempunyai berstatus halal sekiranya mahu mengadakan pelbagai program serta aktiviti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 4:25 PM