MOHAMAD Yusof ketika ditemu bual di Kompleks KDN negeri, Ayer Keroh.
MOHAMAD Yusof ketika ditemu bual di Kompleks KDN negeri, Ayer Keroh.
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Komitmen kerajaan negeri memacu kepada kejayaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri mencapai bilangan penagih baru terendah tahun ini.

Hanya 52 penagih baru dikesan daripada 374 tangkapan sehingga Ogos lalu, sekali gus membuktikan kempen dan program pencegahan AADK negeri memberi kesan mendalam.

Pengarah AADK negeri Mohamad Yusof Kameh berkata, pelbagai kempen dilaksanakan di peringkat negeri mahupun nasional di Melaka, begitu juga dengan program pencegahan.

Menurutnya, setiap perancangan tidak akan mencapai matlamat sekiranya tidak mendapat sokongan padu pihak berkepentingan.

“Kita mendapat sokongan kerajaan negeri malah Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron mengarahkan setiap agensi berkaitan memberi komitmen kepada usaha memerangi dadah terutama dalam kempen Perangi Dadah Habis-Habisan (PDH) 2.0.

“Malah sokongan padu ibu pejabat yang datang ke Melaka setiap kali bermesyuarat dengan kerajaan negeri, Program MTMD, Asean Cities Againts Drug, Bacaan Tahlil di Masjid Salmah Khamis pada Ramadan lalu yang turut membabitkan Orang Kena Pengawasan (OKP) serta Program Aspirasi Negaraku, Melaka Maju Bebas Dadah, amat memberi kesan kepada pencapaian kita,” katanya ditemui di pejabatnya di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurutnya, dalam PDH, sepanjang tahun ini saja, pihaknya merancakkan lagi program pencegahan melalui Program Keluarga Bebas Dadah sebanyak lapan kali, program di institusi pengajian seperti sekolah rendah (tiga kali), sekolah menengah (empat kali) serta institusi pengajian tinggi (empat kali).

“Program pencegahan juga dilaksanakan di tempat kerja baik sektor awam mahupun swasta. Paling penting, selain kerajaan negeri dan agensi berkaitan yang memberi sokongan terhadap setiap kempen dijalankan, syarikat swasta di negeri ini turut memberikan komitmen padu dan bersedia menawarkan tempat mereka untuk tujuan kempen,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan, 585 ditahan sepanjang tempoh Januari hingga Ogos dalam 134 operasi pencegahan dari Januari hingga Ogos, selain Op Sarang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) 40 kali dan selebihnya melalui aduan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 4:21 AM