MANGSA banjir membersihkan rumah mereka setelah air banjir semakin surut. FOTO Azhar Ramli
MANGSA banjir membersihkan rumah mereka setelah air banjir semakin surut. FOTO Azhar Ramli
BERNAMA

MANGSA banjir kilat di pusat pemindahan banjir di Kedah meningkat kepada 1,991 orang pagi ini berbanding 1,983 orang malam tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di sini, pertambahan berlaku apabila ada mangsa yang kembali semula di 13 pusat pemindahan di daerah Kota Setar.

Sehingga 8 pagi ini, 560 keluarga masih ditempatkan di 19 pusat pemindahan banjir di daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang.

Di Kota Setar, pusat pemindahan yang masih beroperasi ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, Alor Setar membabitkan 347 mangsa, SK Seri Gunung (265), SK Bukit Pinang (102), Dewan Taman Sri Bagan (97), Surau Pondok Kepala Bukit (88), SK Alor Mengkudu (85).

Selain itu, 79 mangsa ditempatkan di Surau Assyakirin, Kepala Batas, Masjid Kampung Lengkuas (46), Dewan Wawasan Kampung Kelompang (39), SK Suka Menanti (25), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perak (13), Kampung Tok Pauh (12 ) dan SK Taman Aman seramai sembilan mangsa.

Mangsa banjir di daerah Pokok Sena pula telah ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu di SK Bukit Hijau dengan 366 mangsa, Dewan Lubuk Keriang (35) dan Dewan Kampung Permatang Limau (15).

Di Kubang Pasu membabitkan SK Kodiang Lama yang menempatkan 56 mangsa dan Dewan Tokong Cina yang dibuka semula menempatkan 32 mangsa.

Bagi daerah Pendang, hanya satu pusat pemindahan yang masih dibuka iaitu di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah yang menempatkan 280 orang daripada 77 keluarga.

Menurut kenyataan terbabit, dengan keadaan cuaca yang semakin baik dan aliran sungai yang lancar, keadaan banjir di negeri ini dijangka semakin surut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 11:27 AM