GAMBAR ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia
GAMBAR ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Faliq Lajim


DUA treler dan sembilan lori 10 tan yang diletakkan di depan kilang musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.

Kejadian berlaku di depan kilang kotak di Jalan Bukit Kemuning, Bukit Kemuning, Shah Alam, pada 12.30 tengah malam.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, berkata pihaknya menerima panggilan 12.54 tengah malam.

Menurutnya, 24 anggota dan pegawai bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terbabit dalam operasi itu iaitu BBP Shah Alam, Kota Anggerik dan Kota Raja.

"Kebanyakan kenderaan berat yang berdindingkan kanvas ini dipenuhi dengan kotak," katanya.

Beliau berkata, kebakaran dikawal pada 2.33 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada 5.15 pagi.

Katanya, punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 9:17 AM