Hayati Ibrahim


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Selasa lalu bagi menerangkan perincian projek Sistem Transit Rapid (RTS).

Dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim turut memberi pandangan terhadap projek berkenaan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Abdul Rahman mengambil kira pandangan baginda dan akan memperincikan kembali gerak kerja bagi menjayakan projek RTS itu.

"Kerajaan juga komited untuk menandatangani perjanjian dengan Singapura pada hujung tahun ini.

"Rakyat Malaysia dan Singapura bakal melihat kesalinghubungan dan kebolehcapaian yang lebih baik apabila siapnya projek RTS pada 2024 kelak," katanya.

Pembinaan RTS dicadangkan pada Mei 2010 sebagai alternatif untuk 80,000 hingga 100,000 pengguna yang menggunakan Tambak Johor setiap hari.

Apabila siap nanti, RTS mampu menampung pergerakan 10,000 pengguna di antara kedua-dua negara setiap jam.

Kuala Lumpur dan Singapura bersetuju menggunakan jambatan tinggi bagi RTS kerana ia dilihat penyelesaian yang paling kos efektif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata, keputusan membina jambatan itu dibuat selepas beliau dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong meneliti pelbagai opsyen, termasuk menggunakan jambatan tinggi, jambatan rendah dan terowong.

Ia juga bagi mengintegrasikannya dengan sistem aliran massa (MRT) Singapura laluan Thomson-Pantai Timur (TEL) yang akan dibina.

Projek TEL dengan 31 stesen itu akan dibuka dalam beberapa fasa antara 2019 hingga 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 8:22 PM