Mohd Ruzaini Zulkepli


LELAKI cedera di tangan kiri selepas ditetak dengan benda tajam oleh rakan sekerjanya di Jalan Singgah Mata, berhampiran Wisma Budaya Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 2.45 petang itu, suspek wanita itu ditahan oleh sekumpulan pengawal keselamatan bangunan dan orang awam yang berada di lokasi berkenaan.

Difahamkan, mangsa dan suspek masing-masing berusia 30-an itu dikatakan menaiki van dari arah Karamunsing sebelum merempuh belakang kereta yang diletakkan di tepi jalan berkenaan.

Tidak berapa lama selepas itu, mangsa keluar dari van berkenaan dengan keadaan tangan kirinya berlumuran darah lalu bergegas lari ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Seorang saksi, Muhammad Rosli Abdullah, 52, berkata, ketika kejadian dia sedang minum petang bersama beberapa rakannya sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat dari arah lokasi kemalangan itu.

"Sedang asyik bersembang, saya terdengar bunyi dentuman kuat di hadapan kami dan mendapati ada berlaku kemalangan membabitkan van dan kereta.

"Tidak berapa lama kemudian, seorang lelaki keluar dari van itu dengan keadaan tangannya berlumuran darah," katanya, ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 7:03 PM
LOKASI kejadian wanita menetak  lelaki di dalam van. FOTO Mohd Adam Arinin
LOKASI kejadian wanita menetak lelaki di dalam van. FOTO Mohd Adam Arinin