AHMAD Bashah (tiga kanan)  meninjau keadaan Sungai Kedah yang dalam proses dinaik taraf untuk mengatasi masalah  banjir di Jeti Muzuim Negeri Kedah. FOTO Amran Hamid
AHMAD Bashah (tiga kanan) meninjau keadaan Sungai Kedah yang dalam proses dinaik taraf untuk mengatasi masalah banjir di Jeti Muzuim Negeri Kedah. FOTO Amran Hamid
Aizat Sharif


ENAM jambatan termasuk dua jambatan baru dijangka dibina merentangi beberapa kawasan Sungai Kedah/Anak Bukit di Kedah menggunakan peruntukan tambahan sebanyak RM60 juta daripada kerajaan persekutuan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, rancangan pembinaan jambatan baru itu adalah sebahagian daripada Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak Bukit yang dijangka akan siap sepenuhnya pada 2019.

“Enam jambatan itu adalah di kawasan Tanjung Pauh, Kampung Pasir, Lubuk Kawah di Jitra, Kampung Tok Kun di Pokok Sena, Jalan Putra dan Jalan Gunung Keriang di Alor Setar.

“Daripada enam jambatan itu hanya jambatan di Jalan Putra dan Jalan Gunung Keriang sahaja yang akan menjalani pembinaan baru manakala baki jambatan lain yang sememangnya ada di kawasan berkenaan sebelum ini pula akan digantikan dengan jambatan baru menerusi kerja penaiktarafan.

“Kerja penggantian serta pembinaan baru jambatan ini akan menggunakan peruntukan RM60 juta yang sudah pun diluluskan oleh kerajaanpersekutuan,”€ katanya.

Beliau berkata demikian selepas tinjauan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit di Jeti Muzium Negeri Kedah, Alor Setar, hari ini.

Tambahnya, dengan ada peruntukan tambahan daripada kerajaan persekutuan itu, kerja RTB Sungai Kedah/Anak Bukit itu diharapkan dapat dipercepatkan selepas projek pakej dua dan tiganya mengalami kelewatan daripada jadual asal iaitu akhir tahun ini.

“Kita melihat kelewatan yang berlaku ini adalah disebabkan beberapa faktor seperti keadaan cuaca yang tidak menentu di negeri ini serta pemilihan kontraktor yang tidak menepati kriteria.

“Projek pakej satu yang merangkumi kerja naik taraf Sungai Baru/Sungai Kubang Rotan yang memakan kos sebanyak RM13.97 juta sudah pun selesai pada Oktober 2012 namun projek pakej dua yang merangkumi pembinaan lencongan Sungai Baru, naik taraf Sungai Anak Bukit serta kerja berkaitan RTB Sungai Kedah/Anak Bukit yang menelan kos sebanyak RM132 juta pula sudah 77.5 peratus siap setakat 30 Ogos lalu dan ia mengalami kelewatan sebanyak 19.5 peratus daripada jadual asal.

“Selain itu, projek pakej tiga yang merangkumi kerja menaik taraf Sungai Tanjung Pauh, Terusan Utama dan Terusan Utara Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) serta kerja yang berkaitan dengan RTB Sungai Kedah/Anak Bukit pula sudah menjalani kerja 69 peratus siap dan mengalami hanya lima peratus sahaja kelewatan setakat 30 Ogos lalu,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan RTB Sungai Kedah/Anak Bukit itu diharapkan dapat mengalirkan air dengan sempurna terutama ketika musim hujan melanda Bandar Raya Alor Setar dan kawasan sekitarnya.

“Dengan siapnya RTB Sungai Kedah/Anak Bukit ini nanti juga saya menjangkakan beberapa jambatan yang dibina termasuk yang sudah pun sedia ada dinaik taraf dapat memberi laluan kepada bot pelancong untuk melalui bawahnya.

“Rancangan kerajaan negeri selepas ini adalah untuk menjadikan Sungai Kedah/Anak Bukit sebagai lokasi pelcongan di mana pelancong dapat menyusuri Bandar Raya Alor Setar menggunakan laluan sunagi dari Tanjung Chali sehingga ke Anak Bukit,” katanya.

Turut hadir dalam tinjauan berkenaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim serta ahli exco negeri, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah dan Datuk Suraya Yaacob.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 9:53 PM