Antara penjaja kaki lima yang terdapat di sekitar bandar raya.
Antara penjaja kaki lima yang terdapat di sekitar bandar raya.
Siti Fatimah Nasir


Kuala Lumpur: Usaha Kementerian Wilayah Persekutuan dalam melaksanakan matlamat sifar dan menaik taraf penjaja tepi jalan dan peniaga kaki lima kepada perniagaan berkonsepkan karavan atau kenderaan saji menjelang 2020 satu perancangan yang baik.

Ini kerana tinjauan Harian Metro ke beberapa kawasan sekitar ibu kota termasuk di Pantai Dalam, Kampung Kerinchi dan Taman Lucky, Bangsar, mendapati aktiviti penjajaan rancak berlangsung tidak kira pada waktu siang atau malam.

Malah, ada antara kawasan yang sebelum ini pernah diambil tindakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kini kembali beroperasi dan gerai di tepi jalan juga dilihat semakin berleluasa.

Seperti di Taman Lucky, Bangsar, aktiviti perniagaan di tepi jalan sepanjang Jalan Ara Kiri 3 dilihat semakin sesak berikutan lambakan kenderaan pelanggan yang diparkir di tepi jalan dan turut sama mengundang haiwan perosak akibat sikap peniaga membuang sisa makanan ke dalam longkang sehingga menyebabkan bau busuk serta tersumbat.

Peniaga, Shahkuddin Alias, 34, berkata, cadangan DBKL dalam menaik taraf peniaga kepada konsep karavan dilihat sesuai jika diaplikasikan di kawasan tengah bandar raya yang sering menjadi tumpuan pelancong.

“Sebagai peniaga, saya menyokong usaha DBKL dalam menceriakan bandar raya supaya lebih tersusun dan tidak kotor, tetapi mereka perlu merancang secara teliti sebelum diseragamkan ke seluruh ibu negara.

“Konsep karavan ini sememangnya sesuai dan lebih cekap, bersih dan mudah diurus ke pelbagai lokasi tetapi sebelum diseragamkan, DBKL perlu merancang secara teliti konsep ini kerana ia membabitkan kos yang banyak terutama kos membeli dan menyelenggara karavan,” katanya.

Menurutnya, walaupun peniaga diberi geran sebanyak RM10,000 untuk mengembangkan perniagaan, kos berkenaan tidak mencukupi jika mahu berniaga menggunakan karavan yang memakan kos penyelenggaraan tinggi serta kos tinggi untuk membuat dapur di bahagian atas.

“Jika konsep seperti ini mahu dilaksanakan juga, DBKL perlu menyediakan tapak besar dan lokasi yang sesuai untuk peniaga supaya lebih selesa dan benar-benar memenuhi kehendak dan keperluan peniaga,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Adam Danial Fahimi, 26, berkata, konsep karavan yang dilaksanakan DBKL itu sesuai diaplikasikan di sekitar ibu kota kerana ia akan menjadikan bandar raya bersih dan indah menjelang 2020.

“Konsep perniagaan karavan ini akan menjadikan satu persekitaran itu menarik di samping mentransformasikan penjaja jalanan kepada usahawan yang lebih moden.

“Apabila ramai peniaga beralih kepada konsep karavan, kawasan sekitar ibu kota akan lebih tersusun, bersih dan cantik,” katanya.

Tambahnya, jika konsep ini dilaksanakan, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memantau harga yang dikenakan setiap peniaga karavan supaya mengikut harga ekonomi semasa.

“Memang tak dinafikan harga makanan yang dijual di karavan jauh lebih mahal berbanding restoran tetapi janganlah sampai mahal melampau dan tidak masuk akal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 3:39 AM