Mayat wanita dalam keadaan terbakar yang ditemui di tempat pembuangan sampah di Taman Putri, Kulai, kelmarin. FOTO ihsan pembaca
Mayat wanita dalam keadaan terbakar yang ditemui di tempat pembuangan sampah di Taman Putri, Kulai, kelmarin. FOTO ihsan pembaca
Mohd Sabran Md Sani

HASIL bedah siasat terhadap mayat wanita berusia 63 tahun yang ditemui di dalam semak tempat pembuangan sampah di Taman Putri, Kulai, pagi kelmarin berpunca akibat tubuh terbakar atau 'charred body'.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, tiada sebarang penemuan kesan kecederaan pada badan simati akibat dari apa-apa senjata.

Katanya, polis menerima maklumat penemuan mangsa pada 7.44 pagi daripada seorang pengadu.

"Pengadu mendakwa terjumpa mayat terbakar di dalam semak berhampiran Taman Putri, Kulai dan maklumat ini dijadikan sebagai maklumat pertama.

"Siasatan awal dijalankan di tempat kejadian dan dilawati bersama Ketua Polis Daerah Kulai, pasukan siasatan Jenayah Berat (D9) dansepasukan polis dari JSJ Kulai dan Balai Polis Kulai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sepasukan Forensik dan K9 turut berada di tempat kejadian dengan dibantu oleh doktor dari Jabatan Forensik/Patalogi dari Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB).

"Kawasan tempat kejadian adalah kawasan tempat pembuangan sampah dan dikelilingi semak.

"Kawasan tempat kejadian mempunyai satu jalan masuk yang tidak berturap dan ia adalah jalan pintas keluar masuk oleh penduduk untuk ke kilang kuari berdekatan," katanya.

Katanya, mayat itu ditemui oleh seorang lelaki yang mahu mencari cacing untuk memancing sebelum menghubungi polis.

"Pemeriksaan awal pada tubuh simati, didapati terdapat kesan kebakaran 60 peratus. Tiada sebarang kesan kecederaan akibat senjata pada badan si mati," katanya.

Mengulas lanjut, siasatan mendapati si mati tinggal bersama suami, ibu mertua berusia 83 tahun dan seorang anak lelakinya di rumah.

"Dua anak perempuannya bekerja dan tinggal di Singapura.

"Suami dan anak lelaki simati yang berusia 19 tahun mengakui perubahan sikap wanita itu sejak seminggu lalu yang bersikap murung dan tidak banyak bercakap ketika di rumah," katanya.

Setakat ini katanya, siasatan mendapati tiada penemuan unsur jenayah.

"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut oleh Ketua Polis Balai Kulai," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 10:22 AM