ISMAIL   mencuba motosikal sambil disaksikan  Pengerusi GiatMARA Datuk Azian Othman (lima dari kiri) dan Pengerusi Kawasaki Motor Malaysia Ahmad Faez (empat dari kiri)    pada majlis pertukaran MOA  di GiatMARA Batu.
ISMAIL mencuba motosikal sambil disaksikan Pengerusi GiatMARA Datuk Azian Othman (lima dari kiri) dan Pengerusi Kawasaki Motor Malaysia Ahmad Faez (empat dari kiri) pada majlis pertukaran MOA di GiatMARA Batu.
Asmah Rusman

Gombak: GiatMARA meluaskan lagi kapasiti latihan kursus motosikal berkuasa tinggi melalui hubungan strategik dengan Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) bagi Program Kolaborasi Latihan Superbike.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama itu membabitkan sumbangan jentera motosikal berkuasa tinggi serta peralatan khas Kawasaki kepada GiatMARA bagi tujuan latihan.

“Pertukaran Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOA) ini bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan antara GiatMARA dan pihak industri seperti Kawasaki yang secara tidak langsung wujud perkongsian teknologi lebih berkesan.

“Melalui kerjasama ini juga, bidang pengkhususan bagi kursus motosikal berkuasa tinggi yang ditawarkan kepada pelatih GiatMARA lebih selari dengan keperluan industri, sekali gus meningkatkan kepakaran mereka dalam industri permotoran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Motosikal Berkuasa Tinggi di GiatMARA Batu, semalam.

Bengkel berkenaan dinaik taraf untuk kegunaan pelatih menjalani latihan kemahiran selama empat bulan sebelum mengikuti latihan industri di pusat servis KMSB selama tiga bulan.

Ismail Sabri berkata, melalui kerjasama itu, jelas membuktikan pelatih yang dilahirkan GiatMARA tidak lagi dipandang sebelah mata sebaliknya sentiasa mempunyai kepakaran dan kemahiran yang memenuhi permintaan pasaran.

“Untuk peringkat awal ini, kita sudah mempunyai lapan pelatih bagi mengikuti program kerjasama strategik ini.

“Pelatih bukan sahaja dapat menggunakan teknologi yang dimiliki KMSB, malah mereka juga boleh merasai suasana sebenar bagaimana pusat servis beroperasi selain mempelajari prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi,” katanya.

Katanya, pelatih yang berjaya menamatkan kursus berkenaan berpeluang mendapat pekerjaan di KMSB atau mana-mana rangkaian pengedar sah seluruh negara.

“Sekiranya berminat untuk menjadi usahawan, pelatih juga boleh membuka bengkel motosikal yang menawarkan khidmat tambahan kepada pemilik motosikal berkuasa tinggi.

“Keperluan itu selari dengan kehendak pasaran motosikal berkuasa tinggi yang semakin mendapat perhatian dan permintaan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, selain GiatMARA Batu, kursus motosikal berkuasa tinggi turut ditawarkan di GiatMARA Pendang dan Kota Samarahan yang berjaya melatih seramai 161 pelatih sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 5:50 AM