KHAMARUL menunjukkan madu kelulut yang diperoleh daripada koloni yang terdapat di ladangnya di Kampung Kepulau. Tumpat.
KHAMARUL menunjukkan madu kelulut yang diperoleh daripada koloni yang terdapat di ladangnya di Kampung Kepulau. Tumpat.
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Biasanya hanya sabun, losyen dan krim muka berasaskan madu kelulut dijual di pasaran, namun seorang pengusaha di Kampung Kepulau, Palekbang di sini, melakukan inovasi terkini terhadap madu kelulutnya.

Khamarul Azman Mustafa, 45, menjadi pengeluar pertama di Kelantan yang menghasilkan gincu bibir daripada madu kelulut dan produk disahkan halal itu sudah dijual di pasaran sejak bulan lalu.

Memilih nama Bee Lips Magic Treatment Lipstick (Bee Lips), Khamarul Azman berkata, produk itu dihasilkan selepas penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilaksana selama dua tahun dengan bantuan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Katanya, gincu itu mempunyai campuran lima hingga 10 peratus madu kelulut asli yang diperoleh daripada lebih 2.4 hektar ladang kelulutnya, selain bekalan penternak sekitar Tumpat.

“Idea menghasilkan gincu yang mempunyai rawatan pelembap ini timbul selepas melihat sumber madu mentah yang banyak dan tidak mahu menghampakan penduduk kampung yang jadi pembekal madu.

“Daripada madu berkenaan menjadi lambakan di pasaran, saya terfikir untuk jadikan ia produk yang boleh digunakan dan gincu dipilih selepas melakukan penilaian pasaran dan tiada lagi produk seumpamanya.

“Saya tampil dengan kertas kerja dan bantuan SIRIM serta kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), maka Bee Lips ini terhasil. Sebelum ini saya buat produk kesihatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Khamarul Azman berkata, ketika ini, lebih 250 pembekal madu kelulut bersamanya untuk projek gincu dengan 50 daripadanya adalah peserta yang mengikuti kursus penternakan lebah kelulut anjurannya.

Menurutnya, kursus itu dilaksanakan secara percuma untuk penduduk kampung yang berminat mempelajari cara menternak serangga itu daripada telur sehingga mampu keluarkan madu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 6:10 AM