PASUKAN HAZMAT JBPM membersihkan tumpahan kimia di dalam ruangan kargo sebuah pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).  FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
PASUKAN HAZMAT JBPM membersihkan tumpahan kimia di dalam ruangan kargo sebuah pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli


Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengambil masa hampir 72 minit membersihkan tumpahan kimia di dalam ruangan kargo sebuah pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA),hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang, tumpahan kimia cecair jenis asid UN2794 berkenaan disyaki berlaku di kabin kargo pesawat terbabit sebelum disedari kakitangan bertugas yang kemudiannya melaporkan insiden itu kepada bomba.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, Khatizah Rahaban berkata, sepasukan anggota daripada Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan itu kira-kira 6.15 petang tadi.

"Bertindak atas panggilan itu, dua jentera dengan kekuatan seramai 10 anggota termasuk HAZMAT dikerahkan ke landasan KKIA bagi menjalankan operasi membersihkan tumpahan kimia terbabit.

"Bomba mengambil masa kira-kira 72 minit sebelum berjaya mengawalnya dan operasi berjaya ditamatkan pada 8.08 malam tadi, "katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan bekas tumpahan itu sudah diserahkan kepada pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) KKIA untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengurus Kanan MAHB KKIA Sunif Naiman berkata, insiden kecemasan terbabit bagaimanapun tidak menjejaskan sebarang aktiviti pelepasan atau pendaratan pesawat di landasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 10:34 PM