ROSMIZAN (kanan) melihat penduduk kampung bergotong-royong memasak makanan kenduri doa selamat selepas dilanda banjir kilat.
ROSMIZAN (kanan) melihat penduduk kampung bergotong-royong memasak makanan kenduri doa selamat selepas dilanda banjir kilat.
HM Digital

Kulim: “Saya bina rumah di sini sebab nak elak banjir yang sering berlaku di rumah lama, namun tak sangka rumah baru ini juga dinaiki air akibat banjir kilat semalam (kelmarin),” kata Rosmizan Abdul Wahab, 34, mengenai kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Tebuan dan Kampung Jalan Baru, Sedim, di sini, kelmarin.

Kejadian jam 5 petang itu mengakibatkan 32 penduduk bermalam di pusat pemindahan sementara di Surau Kampung Tebuan sebelum ditutup sepenuhnya jam 9 pagi semalam.

Menurut Rosmizan, ketika kejadian dia bersama saudara mara serta penduduk sedang bergotong-royong menyiapkan bahan masakan untuk kenduri doa selamat sempena masuk ke rumah baru, kelmarin.

“Ketika kejadian saya berada di kawasan
rumah lama untuk kerja menyembelih lembu untuk kenduri manakala beberapa penduduk serta saudara mara terutama kaum perempuan sibuk menyediakan bahan
untuk memasak.

“Hujan lebat sejak jam 2 petang dan ketika melapah lembu saya dihubungi jiran memaklumkan kawasan rumah baru dinaiki air.

“Selepas kerja selesai
saya bergegas pulang dan terkejut melihat halaman rumah dipenuhi air lumpur sehingga masuk ke dalam rumah paras buku lali,” katanya ketika ditemui
di rumahnya di Kampung Tebuan, dekat sini, semalam.

Rosmizan berkata, ketika sampai dia melihat penduduk sedang mengangkat bahan masakan serta kelengkapan kenduri
ke tempat lebih tinggi
dan persiapan dihentikan sementara bagi membersih rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 10:39 AM