KEADAAN motosikal yang terperosok di bawah kenderaan dalam kemalangan. FOTO Rosli Ilham
KEADAAN motosikal yang terperosok di bawah kenderaan dalam kemalangan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


KANAK-KANAK perempuan maut manakala ibunya parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Padang, Chukai, pagi ini.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, Puteri Nur Arrissa Syuhada Tengku Rosli, 2, yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibunya, Asnizawati Saad, 28, yang parah di kepala, badan dan kaki menerima rawatan di Hospital Kemaman (HK).

Kejadian dipercayai berlaku ketika dua beranak yang menunggang motosikal dikatakan dalam perjalanan dari arah Kampung Besut ke Jalan Padang.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, ibu mangsa dikatakan membelok motosikal ke kanan jalan sebelum kenderaan mereka dirempuh Nissan Navara yang datang dari arah bertentangan.

Rempuhan itu menyebabkan dua beranak itu tercampak manakala pemandu Nissan Navara berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum lelaki terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kemaman untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HK untuk bedah siasat manakala ibu mangsa yang parah turut dirawat di hospital sama.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 5:25 PM