TUJUH remaja ditahan bersama basikal lajak. FOTO Ihsan polis.
TUJUH remaja ditahan bersama basikal lajak. FOTO Ihsan polis.
Mohamad Fahd Rahmat


TUJUH remaja lelaki berusia 13 hingga 15 tahun ditahan polis dalam Ops Basikal Lajak di pusat bandar Batu Pahat pada 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kumpulan remaja berkenaan bagaimanapun dibebaskan dengan amaran lisan selepas penjaga dan ibu bapa mereka dipanggil untuk sesi kaunseling.

Katanya, semua basikal lajak berkenaan disita dan tujuh saman dikeluarkan terhadap penunggang basikal tersebut mengikut Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengubahsuai struktur kenderaan.

"Ketika rondaan dan pemantauan dibuat, satu kumpulan remaja bawah umur ditemui menunggang basikal lajak yang diubahsuai sepenuhnya di atas jalanraya yang sibuk iaitu di Jalan Zabedah, Jalan Suasa dan Jalan Ungku Ahmad.

"Pasukan trafik membuat intipan dan mengekori sekumpulan remaja berkenaan dan menahan mereka kerana berkemungkinan melakukan aksi yang merbahaya serta mengancam keselamatan diri dan pengguna jalanraya yang lain," katanya ketika dihubungi.

Beliau menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya lebih bertanggungjawab dengan memantau pergerakan serta aktiviti anak mereka selepas waktu sekolah terutama pada hujung minggu.

"Saya mendapat aduan dan runggutan daripada orang ramai bahawa aktiviti basikal lajak ini sering kali mengganggu lalu lintas dan amat merbahaya kepada mereka terutama di kawasan taman sekitar bandar Batu Pahat.

"Mereka mempunyai bakat dan potensi tetapi aktiviti berbasikal lajak amat merbahaya kepada diri sendiri dan kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Isu ini juga dibawa oleh ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat yang meminta polis terus memantau kegiatan yang dianggap negatif ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 2:05 AM