MOHAMED Khaled Nordin (dua kanan). FOTO arkib NSTP
MOHAMED Khaled Nordin (dua kanan). FOTO arkib NSTP
Izlaily Nurul Ain Hussein


DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan berjumlah RM44.532 juta dalam Bajet 2017 bagi perbelanjaan perkhidmatan dan pembangunan, hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan tambahan itu diperoleh daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan perkhidmatan 2017 yang tidak diperuntukkan sepenuhnya oleh Enakmen Perbekalan (2017) Tahun 2016.

Beliau berkata, peruntukan tambahan itu adalah yang pertama untuk tahun ini yang juga tambahan kepada peruntukan sedia ada bagi menampung keperluan program baru kerajaan negeri.

Peruntukan tambahan itu merangkumi RM266,000 untuk Muzium Diraja Abu Bakar dan Istana Besar Johor; RM30 juta (perbelanjaan projek pembangunan di bawah Pejabat Menteri Besar Johor); RM37,000 (Jabatan Mufti); dan selebihnya untuk dua pejabat daerah dan enam pejabat tanah.

"Pejabat Menteri Besar memerlukan peruntukan tambahan berjumlah RM30 juta bagi menampung keperluan program baru kerajaan negeri dan projek keutamaan bagi tahun ini yang memerlukan pelaksanaan segera bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menggulungkan usul Enakmen Perbekalan Tambahan 2017 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan DUN Johor ke-13 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, keperluan peruntukan tambahan itu tidak boleh ditangguhkan ke tahun depan memandangkan terdapat keperluan segera berasaskan perkembangan sosial dan ekonomi setempat termasuk permintaan mendesak masyarakat tempatan berhubung projek menaik taraf dan membina jalan baru di kampung seluruh negeri.

Katanya, antara permintaan yang diusulkan rakyat termasuk proses pengambilan balik tanah bagi tujuan penempatan semula penduduk ladang Mengkibol, Kluang.

"Selain itu, ia juga bagi projek menaik taraf beberapa jalan termasuk jajaran laluan Johor Bahru-Ayer Hitam Kilometer (km) 38 hingga 40 (selekoh S), Jalan Parit Ibrahim dan Parit Jawa Pontian serta naik taraf jalan daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya sepanjang 2.2 km," katanya.

Selepas Mohamed Khaled membentangkan peruntukan tambahan itu, berlaku kekecohan kira-kira 30 minit apabila ia dipercayai menimbulkan ketidak puasan hati pembangkang yang salah faham berhubung penyaluran peruntukan tambahan itu.

Mohamed Khaled sebelum itu menyatakan peruntukan tambahan itu bagi kegunaan Pejabat Menteri Besar yang disalah ertikan pihak pembangkang.

Sebaliknya, maksud beliau, ia adalah bagi tujuan projek pembangunan di bawah pejabatnya termasuk peruntukan bagi setiap portfolio pengerusi jawatan kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 1:01 PM