ANGGOTA Forensik bomba melakukan siasatan di rumah yang terbakar, semalam.
ANGGOTA Forensik bomba melakukan siasatan di rumah yang terbakar, semalam.
Ravale Savarinathan


Teluk Intan: Ibu dan anak perempuan ditemui rentung dalam keadaan berpelukan manakala seorang lelaki melecur ketika cuba menyelamatkan isteri dan anaknya dalam kebakaran rumah papan dua tingkat di Kampung Sri Jaya, Jalan Maharajalela, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa yang maut ialah S Kalivanni, 47, dan anaknya G Vikhineshwary, 12, ditemui berpelukan dalam rumah didiami bersama suami, R Ghanasekharan, 51, dan empat ahli keluarga lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat jam 3.53 pagi berkaitan kejadian dan berdasarkan keterangan ahli keluarga mangsa, kebakaran bermula di tingkat atas rumah papan terbabit.

Menurutnya, siasatan mendapati ketika kejadian ada tujuh sekeluarga di rumah itu membabitkan lelaki warga emas berusia 80 tahun, empat dewasa dan dua kanak-kanak.

“Dua mangsa iaitu wanita berusia 47 tahun dan anak perempuannya berusia 12 tahun meninggal dunia di tempat kejadian dan ditemui berpelukan dalam kebakaran itu.

“Hanya lima mangsa dapat menyelamatkan diri dan seorang lelaki melecur ketika cuba menyelamatkan dua beranak itu,” katanya.

Berdasarkan saksi kejadian, M Moganathass, 32, yang juga anak saudara kepada Kalivanni, sebelum kejadian dia baru masuk tidur selepas menonton televisyen dan terdengar bunyi letupan kecil di tingkat atas.

“Dia bersama ahli keluarga di bahagian bawah terus melarikan diri keluar dari rumah dan keadaan rumah bahagian atas ketika itu sudah terbakar dengan dua ibu saudara serta sepupunya tidur di tingkat atas.

“Saksi bersama bapa saudaranya cuba menyelamatkan dua mangsa iaitu anak serta isteri bapa saudaranya itu namun tidak berjaya.

Yahya berkata, jiran menghubungi talian kecemasan sebelum bomba tiba memadamkan kebakaran.

“Siasatan awal forensik bomba mendapati kebakaran berlaku dipercayai disebabkan litar pintas dan mayat dua beranak itu dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 5:52 AM