Noorsila Abd Majib


PENGARAH Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira 10 pagi tadi untuk memberi keterangan.

Sumber SPRM mengesahkan beliau dipanggil bagi memberi keterangan berhubung siasatan terhadap Universiti Selangor (UNISEL) berikutan serbuan di premisnya di Shah Alam dan Bestari Jaya, Selangor baru-baru ini.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan kehadiran Yin dan proses mengambil keterangan daripada beliau bergantung kepada maklumat yang diketahuinya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Yin akan ditahan jika ada bukti yang mencukupi bagi berbuat demikian.

Katanya, siasatan SPRM turut merangkumi isu pembayaran oleh Menteri Besar Diperbadankan (MBI) kepada Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) bagi projek UNISEL.

Pada 22 Ogos lalu, kerajaan negeri Selangor menyifatkan tindakan SPRM menyerbu ketiga-tiga premis berkenaan sebagai usaha mencemarkan imej kerajaan negeri itu.

Serbuan SPRM itu difahamkan adalah bagi mendapatkan maklumat dan dokumen berhubung pembayaran RM16 juta oleh MBI kepada JNSB yang menjalankan kerja penyelenggaraan kediaman pelajar di Kampus Induk UNISEL Bestari Jaya.

MBI dipercayai membuat bayaran kepada JNSB menerusi dua transaksi, iaitu RM10 juta pada 2015 dan RM6 juta lagi pada 2016 selain wujud dakwaan JNSB mendapat pampasan kewangan dan kontrak baru daripada UNISEL walaupun gagal menyempurnakan kontrak sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 12:12 PM