Kapten Azizudin Abdul Ayob (kiri) bersama  Fatin Hamiza, (kanan), Baharin (tengah) dan Norbaiti.
Kapten Azizudin Abdul Ayob (kiri) bersama Fatin Hamiza, (kanan), Baharin (tengah) dan Norbaiti.
Asmah Rusman


Subang: Sejak awal menyertai peraduan itu dia sudah berniat untuk memberi hadiah yang bakal dimenangi kepada ibu dan bapanya sebagai kejutan sempena sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-26.

Namun Fatin Hamiza Baharin, 26, tidak menyangka niat itu membawa tuah kepada dirinya sehingga memenangi hadiah utama Peraduan Ceria Sepanjang Jalan anjuran PLUS Malaysia Berhad (PLUS) iaitu menaiki helikopter secara eksklusif di sekitar Kuala Lumpur selama sejam.

“Memang sangat teruja apabila saya dimaklumkan berjaya memenangi hadiah utama. Pastinya seperti yang saya rancang, hadiah ini saya berikan kepada ayah, Baharin Abdullah, 54, dan ibu Norbaiti Adom, 52, bagi merasai pengalaman berharga itu.

“Bukan semua orang berpeluang menaiki helikopter apatah lagi ‘ronda-ronda’ sekitar Kuala Lumpur melihat pemandangan bandar raya ini dari atas,” katanya yang tidak pasti jumlah penyertaan yang dihantar dalam peraduan itu.

Katanya, dia yang tinggal di Bukit Beruntung sudah semestinya menggunakan lebuh raya PLUS untuk ke tempat kerja setiap hari dan menjadi pemegang kad PLUSMiles sejak 2014 bagi menikmati keistimewaan yang ditawarkan selain rebat tol.

Selain, Fatin Hamiza, turut memenangi hadiah utama itu adalah Jalilah Towkuman, 29, dari Kota Damansara dan Muhammad Faiz Shamsudin, 30, dari Pagoh, Johor.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata, 1,000 penyertaan diterima bagi Peraduan Ceria Sepanjang Jalan yang berlangsung antara 8 Mei hingga 27 Jun menerusi laman Facebook PLUSMiles.

“Sejak peraduan ini diadakan, kami mendapati terdapat peningkatan pendaftaran kad PLUSMiles yang konsisten sebanyak 31 peratus dan sehingga kini sebanyak 1.9 juta pemegang kad sudah mendaftar,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah dan pengumuman duta PLUS, semalam.

Pada majlis itu, Azman mengumumkan PLUS melantik bintang baru yang sedang meningkat naik dalam industri hiburan tanah air, Janna Nick sebagai duta PLUS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 8:19 AM