Muhammad Saufi Hassan


JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa pertubuhan Islamic Renaissance Front (IRF) dan kumpulan G25 berusaha membawa masuk idea-idea liberal yang sesat ke negara ini.

Ketua Pengarah JAKIM Tan Sri Othman Mustapha berkata, yang terkini ialah kenyataan kontroversi Dr Mun'im Sirry dari University of Notre Dame yang menjadi panel dalam program anjuran kedua-dua kumpulan itu baru-baru ini.

Beliau difahamkan individu itu menyatakan bahawa al-Quran tidak relevan dan kitab suci berkenaan sebenarnya turun di Mesopotamia.

"Ini suatu kenyataan yang salah dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama. Beliau juga seolah-olah cuba untuk mempromosi tafsiran baru kepada kebenaran kitab suci al-Quran.

"JAKIM melihat isu ini adalah satu percubaan oleh IRF dan G25 membawa masuk idea-idea liberal yang sesat ke negara ini, perbuatan ini sangat bahaya dan menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, JAKIM memandang serius perkara ini dan perlu ada penyelarasan dengan pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) serta agensi lain yang berkaitan, agar mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya membuat kenyataan yang menyalahi undang-undang dan amalan Islam yang diamalkan di Malaysia.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang dan pihak penganjur akan dipanggil untuk memberi penjelasan.

"Semua pihak juga perlu ingat bahawa negara ini majoritinya adalah umat Islam yang berpegang teguh kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kedudukan Islam dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Malahan kita juga perlu sama-sama menjaga keharmonian beragama di samping memelihara kedaulatan Islam di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 11:31 PM