Keadaan kenderaan mangsa yang remuk teruk. FOTO ihsan bomba
Keadaan kenderaan mangsa yang remuk teruk. FOTO ihsan bomba
Nur Syazwana Mansor


DUA lelaki maut manakala seorang cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 56.5 Lebuhraya PLUS, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada 1 petang.

Katanya, pemandu Teow Seng Wee, 44, maut di tempat kejadian manakala dua penumpang parah dan dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

"Bagaimanapun, penumpang belakang, Leong Ah Kow, 89, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada 3 petang.

"Seorang lagi penumpang belakang, Huang Jun Yi, 39, sedang menerima rawatan pesakit luar," katanya dihubungi hari ini.

Fadzil berkata, siasatan awal mendapati semua mangsa dari Alor Setar dan dalam perjalanan ke Pulau Pinang.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, kenderaan itu terbabas sendiri lalu merempuh pokok di kiri jalan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 9:43 PM