BOT yang dirampas. FOTO ihsan APMM
BOT yang dirampas. FOTO ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Kuala Kedah menahan dua nelayan dan menyita bot pukat sorong kerana memukat tanpa lesen di perairan Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, bot ronda APMM mula mengesan bot berkenaan melakukan aktiviti pada 12.50 tengah malam.

Beliau berkata, bot itu kemudian ditahan 1 pagi pada jarak 1.7 batu nautika barat daya dari pantai Kuala Kedah.

"Dua nelayan ditahan itu berusia 23 dan 34 tahun dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan tidak mempunyai lesen dan nombor pendaftaran.

"Bot bersama nelayan itu dibawa masuk ke Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk siasatan dan kes akan disiasat menurut Akta Perikanan 1985.

"Turut dirampas tiga kilogram hasil tangkapan nelayan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Ahmad Kamal berkata, sehubungan itu pihaknya berharap kerjasama orang ramai supaya terus melaporkan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara ini.

Katanya, sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan di talian 24 jam Malaysia Emergency Response System (MERS) 999 dan Pusat Operasi Maritim Pangkalan Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 12:49 PM