Bumbung yang tercabut akibat ribut di Kompleks LKIM, semalam. FOTO Rosliza Mohamed
Bumbung yang tercabut akibat ribut di Kompleks LKIM, semalam. FOTO Rosliza Mohamed
Rosliza Mohamed


SERAMAI 30 orang termasuk nelayan, peniaga dan orang awam bertempiaran lari dalam kejadian ribut di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar, Kota Bharu petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu juga menyebabkan seorang nelayan berusia 50-an cedera selepas terjatuh ketika menyelamatkan diri.

Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kelantan Rosdi Md Ali berkata, akibat kejadian itu, bumbung dua kedai makan dan kolam ikan mengalami kerosakan dengan anggaran kerugian lebih RM300,000.

Menurutnya, ketika kejadian mereka sedang minum dan membeli ikan di pasar nelayan di kawasan terbabit.

Katanya, secara tiba-tiba angin kencang melanda dan bumbung kolam ikan yang terletak di belakang kedai makan diterbangkan selain hampir merosakkan sebuah kereta jenis Proton Wira milik kakitangan LKIM.

"Sejumlah ikan air tawar spesis tilapia mati bernilai lebih RM2,000," katanya, hari ini.

Katanya, kerosakan bumbung dan kedai makan itu juga akan dibaiki dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 3:01 PM