Laporan Harian Metro sebelum ini
Laporan Harian Metro sebelum ini
Zatul Iffah Zolkiply

POLIS sudah merujuk kertas siasatan berhubung kejadian buli membabitkan tiga mangsa yang berlaku di Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Nerus pada minggu lalu kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, siasatan membabitkan kes berkenaan sudah selesai dan pihaknya kini menunggu arahan seterusnya daripada TPR.

"Ketika ini, seramai 26 pelajar masing-masing berusia 16 hingga 17 tahun sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman mereka tamat semalam.

"Tempoh reman semua suspek tamat pada Sabtu lalu sebelum mahkamah membenarkan ia disambung tiga hari lagi sehingga semalam bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini.

Akhbar sebelum ini melaporkan polis menahan 26 pelajar yang dipercayai terbabit dalam dua kejadian buli yang berlaku di sekolah berkenaan.

Dalam kejadian pertama pada 7 Ogos lalu, Muhammad Luqman Hakim Mohd Shukri, 17, mendakwa dibelasah 15 rakannya ketika berada di surau dan asrama kolej antara jam 9.30 dan 10.30 malam.

Ahmad Zikrill Azim Hasbullah pula mendakwa dia bersama rakannya, Wan Ahmad Faris Zakaria, masing-masing berusia 16 tahun dibelasah kira-kira 20 pelajar lain sebelum mereka dipaksa bertumbuk sesama sendiri pada pagi 8 Ogos lalu.

Berikutan kejadian itu, Muhammad Luqman dan Ahmad Zikrill terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

#kw buli tunggu arahan tpr

#loc 5.3296239999999999, 103.1370142

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 8:24 PM