Mahdzir beramah mesra dengan pengakap yang menyertai Jambori Pengakap Negeri Kedah Kali Ke-5 dan Persaudaraan Antarabangsa 2017. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Mahdzir beramah mesra dengan pengakap yang menyertai Jambori Pengakap Negeri Kedah Kali Ke-5 dan Persaudaraan Antarabangsa 2017. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


KEMENTERIAN Pendidikan tidak mewajibkan setiap pelajar membawa peranti ke sekolah untuk proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) atas pertimbangan tidak semua waris mampu menyediakan alat itu untuk anak mereka.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peranti hanya akan digunakan sebagai alat tambahan bagi membuat rujukan serta lebih interaktif antara guru dan pelajar.

"Perkara ini sangat sensitif pada pandangan masyarakat, jadi pihak saya ingin menjelaskan membawa alat peranti ini bukan wajib dan bukan satu paksaan, proses P&P masih berjalan seperti biasa.

"Tidak semua mampu memiliki peranti, ia berdasarkan keupayaan yang ada malah kementerian juga sedar bahawa tidak semua kawasan sekolah mempunyai liputan Internet yang baik," katanya selepas Majlis Pembukaan Rasmi Jambori Pengakap Negeri Kedah Kali Ke-5 dan Persaudaraan Antarabangsa 2017 di Kolej Pertanian Malaysia di Bukit Kayu Hitam, semalam.

Mahdzir berkata, sehingga kini panel yang bersama kementerian menetapkan hanya peranti yang dibenarkan dibawa ke sekolah berikutan alat itu sudah lama digunakan sekolah berasrama penuh dan berprestasi tinggi.

Katanya, biarpun terdapat cadangan untuk membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana fungsinya hampir sama, namun alat komunikasi itu belum termaktub dalam peraturan kementerian.

"Telefon bimbit tak ada dalam peraturan, satu hari nanti apabila sampai masa kita boleh tetapkan, buat masa sekarang kita tetapkan peranti yang dibawa ke sekolah bukan telefon bimbit.

"Bagi penggunaan peranti ini pula, KPM juga belum putuskan berapa jam sehari ia akan digunakan dalam P&P termasuk waktu dan subjek yang sesuai untuk menggunakannya," katanya.

Sebelum ini, kementerian pernah bercadang membenarkan penggunaan alat peranti di sekolah bagi tujuan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam kelas mengikut masa dan subjek yang akan ditetapkan.

Terdahulu, seramai 4,000 pengakap dari Malaysia, Indonesia dan Thailand menyertai jambori pengakap berkenaan sekali gus menjadi penyertaan paling ramai berbanding empat penganjuran sebelum ini.

Turut hadir Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Shafei Mohd Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 2:10 PM