Lokasi kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Utara, api masih kelihatan di Hutan Simpan Raja Musa (gambar kecil). FOTO Ihsan JBPM
Lokasi kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Utara, api masih kelihatan di Hutan Simpan Raja Musa (gambar kecil). FOTO Ihsan JBPM
Suzaini Sulaiman dan Siti Nor Amirah Abu Bakar

LEBIH 100 hektar kawasan Hutan Simpan Raja Musa, Bestari Jaya dan Hutan Simpan Kuala Langat Utara terbakar sejak beberapa hari lalu.

Kebakaran Hutan Simpan Raja Musa membabitkan baki keluasan 10 hektar daripada 120 hektar, manakala 95 hektar kawasan di Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih terbakar.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohd Sani Harul berkata, kebakaran Hutan Simpan Raja Musa bermula Ahad lalu membabitkan Kompartmen 100, 101 dan 102, manakala Kompartmen Enam Hutan Simpan Kuala Langat Utara terbakar sejak 3 Ogos lalu.

Katanya, kebakaran Hutan Simpan Raja Musa dikesan bermula di kawasan tanah terbiar sebelum merebak ke hutan simpan terbabit.

“Kerja pemadaman dilakukan secara terus, pembinaan 'fire break' serta menambak ban yang pecah bagi meningkatkan paras air di kawasan hutan simpan itu.

"Selain itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut membantu operasi pemadaman dengan menggunakan pesawat Bombardier CL415 MP," katanya.

Menurutnya, seramai 77 anggota terbabit dalam operasi pemadaman di Hutan Simpan Kuala Langat Utara, manakala 49 anggota memadam api di Hutan Simpan Raja Musa.

"Agensi yang terbabit antaranya JBPM, Jabatan Perhutanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor serta Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 9:44 PM