Zulkifli (tengah) di tapak kompleks masjid di Taupo, New Zealand. FOTO Suraya Roslan
Zulkifli (tengah) di tapak kompleks masjid di Taupo, New Zealand. FOTO Suraya Roslan
Suraya Roslan


MUSLIM Care Malaysia Society (Muslim Care) terus mengembangkan dakwah Islam apabila bakal membuka pusat Islam kesembilan di luar negara dan terbaru sebuah kompleks masjid di New Zealand.

Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya bakal membuka kompleks masjid di Kaimanawa, Taupo, New Zealand yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk kegunaan masyarakat minoriti Islam di daerah ini.

"Walaupun masyarakat Islam adalah golongan minoriti iaitu 25 keluarga tetapi keperluan mendesak untuk sebuah masjid dibina sangat diharapkan oleh penduduk dan pelancong Islam.

"Bersesuaian dengan moto Muslim Care iaitu bantuan kemanusiaan merentasi sempadan menyebabkan kita tampil membantu umat Islam dan Alhamdulillah hari ini selesai lawatan di tapak projek," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, sebelum ini pihaknya sudah membina pusat Islam di lapan negara lain iaitu Poland, Syria, Turki, Palestin, Chad, Kemboja, Myanmar dan Jepun.

"Kompleks Masjid Al-Quddus di Taupo dibina atas tapak seluas 1,017 meter persegi dan dilengkapi masjid, dewan serba guna, kelas pengajian dan kafe halal untuk umat Islam.

"Ini juga adalah dakwah pertama kita di New Zealand bagi mengurangkan Islamophobia dalam kalangan masyarakat barat," katanya.

Katanya, pihaknya kini turut berharap orang ramai mendapat 'saham akhirat' untuk menyumbang dalam projek berkenaan yang dijangka menelan belanja RM3 juta untuk fasa pertama.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi tiga akaun Muslim Care iaitu Maybank 564490413882, Bank Islam 14014010147470 dan Bank Muamalat 14010007654717.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 2:53 PM