Fauzi menunjukkan kawasan dapur yang roboh. FOTO ihsan pembaca
Fauzi menunjukkan kawasan dapur yang roboh. FOTO ihsan pembaca
Ekhwan Haque Fazlul Haque


DAPUR sebuah rumah yang dihuni enam sekeluarga di Kampung Bako Hulu, Muara Tebas di Kuching, roboh dibawa arus sungai selepas hujan malam semalam.

Kejadian 10.30 malam itu dipercayai berpunca daripada masalah hakisan tanah yang berlaku di kawasan dapur yang terletak berdekatan Sungai Bako.

Penghuninya, Fauzi Dollah, 34, berkata, ketika kejadian, dia bersama keluarga sedang menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat di belakang rumah.

Menurutnya, dia mendapati dapur rumah roboh dibawa arus Sungai Bako.

"Ketika kejadian hujan lebat menyebabkan arus sungai deras. Keadaan itu menyebabkan kawasan dapur roboh.

"Saya bersyukur kerana kejadian tidak menyebabkan sebarang kecederaan dan semua ahli keluarga berada di ruang tamu," katanya.

Dia berkata, kawasan dapur rumah mentuanya itu mengalami masalah hakisan namun semakin serius sejak minggu lalu.

Katanya, setakat ini, dia dan keluarga masih lagi menetap di rumah sama untuk sementara waktu dan menantikan pihak berwajib membaiki hakisan yang berlaku.

"Saya berharap masalah hakisan khususnya di kawasan rumah berdekatan tebing sungai dapat diatasi segera bagi mengelak masalah serius berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 4:42 PM