Hayati Ibrahim


ENAM pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan Geng 360 Devan boleh dibuang kerja jika terbukti bersalah.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk T Subromaniam, berkata pihaknya sudah memulakan siasatan dalaman dan tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka selaras dengan dasar jabatan yang ketat terhadap kes salah laku dan rasuah.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk membantu siasatan.

“Kita sendiri sudah memulakan siasatan dalaman. Saya tidak mahu membuat kesimpulan awal, kita tunggu hasil siasatan polis.

Saya ingin tegaskan kita tidak akan berkompromi dengan kegiatan rasuah atau salah guna kuasa dalam kalangan pegawai JKDM,"katanya ketika dihubungi di Putrajaya, hari ini.

Harian Metro hari ini, melaporkan enam pegawai JKDM yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan kerana disyaki terbabit dengan Geng 360 Devan, kelmarin dan semalam.

Difahamkan, semua suspek ditahan dalam beberapa siri tangkapan di lokasi berbeza sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Memetik sumber, semua suspek ditahan kerana dipercayai terbabit dengan pengedaran dadah untuk geng berkenaan.

Semua suspek direman 28 hari mengikut Seksyen 4 (5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mereka ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Selangor.

Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh mengesahkan penahanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 12:50 PM