Siti A'isyah Sukaimi


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penahanan enam pegawainya yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disyaki terbabit dengan Geng 360 Devan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM Datuk Mohd Pudzi Man berkata, pihak pengurusan tertinggi jabatan itu tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai dan kakitangannya yang tidak amanah.

"Dalam kes ini, kita serahkan sepenuhnya kepada pihak PDRM bagi menyempurnakan siasatan mereka sebaik-baiknya.

"Malah, kita juga sentiasa memberikan sokongan padu kepada polis," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA, Sepang hari ini.

Portal Harian Metro semalam melaporkan, enam pegawai JKDM bertugas di KLIA ditahan kerana disyaki terbabit dengan Geng 360 Devan.

Difahamkan, semua suspek ditahan dalam beberapa siri tangkapan di lokasi berbeza sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh dilaporkan mengesahkan penahanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 11:45 AM