ABDUL Rahman (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada Khaw (dua kanan) sambil diperhatikan Mohamed Khaled (kiri) dan Wong (kanan). FOTO ihsan IRDA
ABDUL Rahman (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada Khaw (dua kanan) sambil diperhatikan Mohamed Khaled (kiri) dan Wong (kanan). FOTO ihsan IRDA
Izlaily Nurul Ain Hussein


MALAYSIA dan Singapura bakal menandatangani perjanjian dua hala, Disember ini dalam pelaksanaan projek Sistem Transit Rapid (RTS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, perkara itu dicapai kumpulan kerja pada mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM), hari ini.

Beliau berkata, menerusi mesyuarat itu, Malaysia juga meminta untuk menjadi pemegang saham dominan dalam syarikat yang bakal mengendalikan operasi RTS dengan penguasaan 51 peratus yang secara dasarnya dipersetujui kedua-dua negara.

Katanya, RTS yang menghubungkan Johor dan Singapura itu dijangka memulakan operasi pada 31 Disember 2024 dan beberapa aspek teknikal mengenai RTS itu dibincangkan dalam JMCIM menunjukkan perkembangan positif bagi kedua-dua negara.

"Ada beberapa aspek teknikal yang dibincangkan termasuk persetujuan pembahagian pembayaran konsesi RTS iatu 39 peratus (Malaysia) dan 61 peratus (Singapura) sehingga kos yuran konsesi selesai.

"Selepas selesai pembayaran konsesi bagi RTS yang dijangkakan untuk tempoh 50 tahun, pendapatan konsesi adalah secara 50:50 antara Malaysia dan Singapura," katanya ketika sidang media selepas mesyuarat itu di Iskandar Puteri, hari ini.

Menurut Abdul Rahman, Singapura menerima bayaran konsesi lebih tinggi kerana negara itu mengeluarkan kos yang lebih tinggi bagi membina stesen bawah tanah bagi projek RTS.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Singapura, Khaw Boon Wan dan Menteri Pembangunan Nasional Singapura, Lawrence Wong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 6:34 PM