Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


PENUNTUT warga Yaman yang melanggar peragut hingga mati di Seri Kembangan semalam, direman selama tujuh hari sehingga 6 Ogos ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini, bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 3.30 pagi semalam, penuntut Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Bangi itu melanggar motosikal ditunggang lelaki berusia 25 tahun yang meragut beg miliknya ketika dia minum di sebuah restoran di Serdang Perdana, Seri Kembangan.

Lelaki terbabit mengejar suspek sejauh tiga kilometer dan melanggar motosikal yang dinaiki suspek berhampiran persimpangan lampu isyarat di Pangsapuri Garden@One South.

Akibat rempuhan itu, suspek parah di kepala dan disahkan meninggal dunia.

Pemeriksaan polis mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau termasuk kes penyalahgunaan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 2:43 PM