Zawawi (kiri) bersama anggota perikanan mengukur pukat menangkap gamat yang digunakan nelayan asing di Pelabuhan LKIM Chendering. FOTO Syafiq Ambak
Zawawi (kiri) bersama anggota perikanan mengukur pukat menangkap gamat yang digunakan nelayan asing di Pelabuhan LKIM Chendering. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


JABATAN Perikanan Terengganu menahan lima nelayan Vietnam termasuk seorang tekong kerana menangkap gamat kira-kira 6.5 batu nautika dari Pulau Kapas, Marang, pagi ini.

Semua nelayan itu ditahan kira-kira 1 pagi ketika bot peronda menjalankan rondaan Operasi Periksa di kawasan perairan Terengganu.

Pengarahnya, Zawawi Ali berkata, bot yang sedang menunda menggunakan peralatan tangguk itu ditahan selepas dikejar hampir 30 minit.

"Hasil pemeriksaan mendapati ia adalah bot tempatan yang berdaftar di Kelantan dan kami merampas gamat yang dianggarkan bernilai RM2,000.

"Nelayan berusia antara 38 hingga 53 tahun bersama bot yang digunakan kemudian ditunda ke Pelabuhan Perikanan Chendering, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan (AP) 1985 kerana melanggar syarat lesen, Seksyen 11(3) (a) AP 1985 iaitu mengendali peralatan menangkap ikan tanpa lesen dan Seksyen 11(3) AP 1985 kerana mempunyai peralatan menangkap ikan tanpa lesen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 1:26 PM