Tiga kakitangan bahagian penguat kuasa dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Tiga kakitangan bahagian penguat kuasa dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Syah Rul Aswari Abdullah


TIGA kakitangan bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Beaufort ditahan reman selama lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes meminta sogokan wang tunai RM600 daripada seorang peniaga, pada 14 Julai lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Rendah Rita Kunsoi selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek yang memakai baju lokap berwarna oren dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, kira-kira jam 10.30 pagi.

Semalam, dua pembantu penguat kuasa berusia 35 tahun dan 37 tahun dan seorang lagi penolong pegawai penguat kuasa berusia 38 tahun itu ditahan di pejabat mereka di KPDNKK Beaufort, antara jam 12.25 hingga 12.40 tengah hari.

Suspek dipercayai meminta wang tunai itu daripada seorang peniaga ketika mereka menjalankan pemeriksaan tanda harga di sebuah kedai, pada 14 Julai lalu.

Sogokan itu sebagai dorongan supaya peniaga itu tidak dikenakan kompaun atas kesalahan tanda harga dan alat timbang mengikut Seksyen 10 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 1:00 PM