ZAHIDI (dua kanan) ketika Majlis Pelancaran Program Jejak Gelandangan UCAM Prihatin.
ZAHIDI (dua kanan) ketika Majlis Pelancaran Program Jejak Gelandangan UCAM Prihatin.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bersedia beri peluang pekerjaan terutama membabitkan sektor peladangan kepada golongan gelandangan yang tiada pekerjaan sekali gus mampu mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

Pengerusinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya akan menawarkan pekerjaan kepada golongan yang mahu mengubah kehidupan mereka yang sebelum ini hilang mata pencarian.

Beliau berkata, RISDA sentiasa peka terhadap masalah yang dihadapi golongan gelandangan dan bersedia membantu mereka merangkumi pelbagai aspek termasuk membabitkan bantuan kewangan, makanan dan pendidikan.

“Kita mempunyai banyak peluang pekerjaan terutama membabitkan sektor peladangan dan RISDA sangat mengalukan golongan gelandangan untuk menceburi bidang pekerjaan itu.

“Jika mereka minat untuk mengubah kehidupan ke arah lebih baik, RISDA akan menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka berdasarkan kekosongan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Jejak Gelandangan Kolej Universiti Agro Sains Malaysia (UCAM), di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UCAM Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh dan Naib Canselor UCAM Datuk Dr Faridah Hanam Mohd Rashid.

Pada majlis itu, seramai 200 gelandangan di sekitar bandar raya ini menerima bantuan berupa makanan yang diagihkan di Anjung Singgah, di sini.

Sementara itu, Mohd Fasiah berkata, pihaknya juga akan merangka pelbagai program termasuk bengkel kemahiran khusus kepada gelandangan.

Katanya, gelandangan yang berkelayakan juga boleh melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang yang ditawarkan oleh UCAM.

“UCAM sentiasa terbabit dalam program kemasyarakatan terutama dalam membantu golongan kurang bernasib baik supaya dapat menjalani kehidupan lebih baik.

“Kita juga akan merangka program atau bengkel kemahiran untuk mereka supaya lebih bersedia dalam mencari pekerjaan yang bersesuaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 7:00 AM