Syah Rul Aswari Abdullah


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini, menahan tiga kakitangan bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Beaufort yang dipercayai meminta sogokan RM600 daripada seorang peniaga, pada 14 Julai lalu.

Suapan itu dipercayai bagi mengelak tindakan undang-undang dikenakan terhadap peniaga berkenaan.

Suspek, dua pembantu penguat kuasa berusia 35 dan 37 tahun, dan seorang lagi penolong pegawai penguat kuasa ditahan di pejabat mereka di KPDNKK Beaufort,Beaufort, antara 12.25 dan 12.40 tengah hari ini.

Sumber yang rapat dengan SPRM Sabah berkata, suspek dipercayai meminta wang rasuah daripada peniaga ketika menjalankan pemeriksaan tanda harga di kedai pengadu pada 14 Julai lalu.

"Sogokan itu sebagai dorongan supaya pengadu tidak dikenakan kompaun bagi kesalahan tanda harga dan alat timbang mengikut Seksyen 10 Akta Kawalan Harga danAntipencatutan 2011," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Sabli mengesahkan penahanan semua suspek.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon perintah reman di mahkamah terhadap ketiga-tiga suspek dalam tempoh terdekat.

"Kes terhadap mereka disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 5:55 PM