Warga Myanmar dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani untuk mendapatkan perintah tahanan reman. FOTO   Omar Osman
Warga Myanmar dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani untuk mendapatkan perintah tahanan reman. FOTO Omar Osman
Muhaamad Hafis Nawawi


WARGA Myanmar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, selepas cuba merasuah anggota polis sebanyak RM10,000.

Menurut sumber, lelaki terbabit ditahan pada 5.55 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

"Suspek yang bekerja sebagai sub kontraktor didakwa cuba merasuah anggota polis pada 8.30 malam 17 Julai lalu supaya tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) disyaki tamat tempoh.

"Bagaimanapun tindakannya menyogok anggota polis RM10,000 mengundang padah apabila ditahan,” katanya.

Menurutnya, anggota polis menahan suspek untuk siasatan atas cubaan merasuah dan kesahihan kad UNCHR sebelum diserahkan kepada SPRM semalam.

Lelaki itu dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini, untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan penahanan terbabit dan dia direman seminggu bermula hari ini hingga 1 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 11:59 AM