IBRAHIM (kanan) melayan tetamu ketika sambutan Aidilfitri. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
IBRAHIM (kanan) melayan tetamu ketika sambutan Aidilfitri. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ismail Muhamad


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan perolehan nilai urusniaga sebanyak RM700 juta di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan, tahun ini berbanding RM360 juta tahun lalu.

Pengarah FAMA Kelantan, Ibrahim Mahmood berkata, sasaran peningkatan hampir sekali ganda itu berdasarkan penambahan tiga kluster urusniaga baru antaranya medan selera, pusat jualan bunga dan dan Pasarina yang menjual pakaian, komestik dan aksesori wanita.

"Sehingga Julai ini, RM200 juta nilai urusniaga sudah dicapai oleh RTC Kelantan dan kita berharap sasaran perolehan itu dapat direalisasikan dengan penambahan tiga kluster baru perniagaan itu.

"Medan selera dan Pasarina akan bermula pada September ini manakala pusat jualan bunga Oktober ini," katanya pada sidang media pada majlis bertemu pelanggan dan sambutan Aidilfitri di Dewan Serai Wangi FAMA Kelantan di Tunjong, hari ini.

Seramai 1,000 tetamu membabitkan pemborong, peruncit, peserta ladamg kontrak, peserta pasar tani, agensi kerajaan hadir bagi memeriahkan sambutan program anjuran FAMA negeri.

Ibrahim berkata, pihaknya mengenal pasti 95 peserta Pasarina yang akan menjalankan perniagaan manakala 16 usahawan terbabit untuk medan seleradi kawasan RTC Kelantan.

Katanya, setakat in terdapat 300 lot kedai untuk aktiviti pemborongan dan peruncitan membabitkan hasil laut, sayur dan buah serta makanan yang beroperasi 24 jam di dalam kawasan RTC Kelantan.

"Selain peniaga tetap, FAMA Kelantan juga menyediakan tapak kepada peniaga kecil-kecilan menjual hasil pertanian bermusim.

"FAMA berusaha membantu peserta memasarkan hasil pertanian secara terus kepada pengguna menerusi RTC Kelantan sekali gus menjana pendapatan untuk mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 4:07 PM